SEORANG penjawat awam di Perlis direman lima hari, bagi membantu siasatan kes menerima rasuah kira-kira RM200,000 berkaitan urusan mendapatkan pelbagai darjah kebesaran, pingat dan bintang melibatkan sebuah pertubuhan beruniform sukarela pada 2024.
Perintah reman sehingga 13 April itu dikeluarkan, Majistret Nurul Natasha Rizal selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kangar.
Menurut sumber, lelaki itu ditahan jam 2.40 petang semalam selepas memberikan keterangan di Pejabat SPRM Perlis, Kangar.
Lelaki itu disyaki menerima wang berkenaan pada 2024 ketika menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya pertubuhan itu di Perlis, sebagai balasan untuk beberapa individu mendapatkan bintang dan pingat pertubuhan itu.
“Jumlah keseluruhan individu memberikan wang kepada lelaki itu untuk mendapatkan pingat dan bintang pertubuhan terbabit masih dalam siasatan pihak SPRM,” katanya.
Selain suspek, beberapa saksi lain turut dipanggil memberi keterangan.
Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani yang dihubungi mengesahkan penahanan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.


