Sindiket seleweng gas LPG dalam ladang sawit tumpas

KEGIATAN haram menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Tok Mori, Tanjung Sepat di Selangor terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor semalam.

Dalam serbuan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) kira-kira jam 3 petang itu, dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti ‘decanting’ iaitu memindahkan gas LPG 14 kilogram bersubsidi ke tong gas komersial 50 kilogram.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, operasi dilakukan hasil risikan selama sebulan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas IPK Selangor.

Menurutnya, premis tanpa nombor yang terletak di dalam kawasan ladang kelapa sawit itu dipercayai sudah beroperasi sejak sebulan lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek sedang menjalankan aktiviti memindahkan LPG bersubsidi ke tong komersial yang dipercayai dijual kepada pihak industri pada harga lebih rendah daripada pasaran sebenar.

“Turut ditemui beberapa peralatan seperti hos penyambung dan bungkusan ais yang dipercayai digunakan dalam proses pemindahan gas menggunakan teknik konvensional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan LPG subsidi itu dipercayai diperoleh daripada pemborong berlesen sekitar Banting, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek.

Katanya, pihaknya kini memberi tumpuan terhadap siasatan rantaian pembekalan yang membawa kepada kegiatan penyelewengan itu.

“KPDN Selangor menganggarkan ketirisan subsidi LPG negara yang berjaya dilumpuhkan menerusi serbuan ini bernilai kira-kira RM750,000 dalam tempoh sebulan sindiket beroperasi,” katanya.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menyita kira-kira 250 tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14 kilogram dan 50 kilogram dengan anggaran berat gas mencecah 3,000 kilogram.

“Turut disita alat timbang pelantar dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM400,000,” katanya.

Menurut Muhamad Hanif, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) kerana memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak munasabah untuk menjalankan urus niaga tanpa lesen sah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img