SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan terhadap usaha Khazanah Nasional Berhad dalam membangunkan dan memulihara Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara.
Menerusi perkongsian di Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah usaha tersebut bukan sahaja memelihara warisan sejarah negara, malah mengangkat semula martabat mercu tanda yang signifikan dalam sejarah tanah air.
Baginda turut mengimbas kebimbangan yang pernah disuarakan sekitar 2018 atau 2019 mengenai keadaan beberapa bangunan bersejarah penting milik Selangor di Kuala Lumpur yang semakin terabai.
“Beta maklum terdapat perbincangan dan perdebatan berhubung kos yang terlibat dalam kerja-kerja pemulihan ini. Namun, beta ingin menegaskan sekiranya usaha seperti ini tidak dilaksanakan, warisan sejarah Selangor yang tidak ternilai ini berisiko hilang dan lenyap begitu sahaja.
“Beta bimbang akhirnya nanti tiada lagi bukti kewujudan warisan Selangor di Kuala Lumpur untuk tatapan generasi akan datang,” titah baginda.
Menurut baginda, Bangunan Sultan Abdul Samad yang dibina pada 1894 sebagai pejabat kerajaan baharu Selangor mempunyai nilai sejarah besar dalam pentadbiran negeri dan negara.
“Bangunan ini siap dibina dalam tempoh dua tahun tujuh bulan dan dirasmikan pada 3 April 1897 semasa pemerintahan nenda beta, Almarhum Sultan Sir Abdul Samad, Sultan Selangoe keempat. Selama 77 tahun, bangunan ini dikenali sebagai Sekretariat Selangor dan Sekretariat Persekutuan, mencerminkan peranan dwifungsi yang amat penting dalam pentadbiran negara,” titah baginda.
Selepas Kuala Lumpur diisytiharkan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974 dengan perkenan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bangunan itu menjadi milik Kerajaan Persekutuan dan dinamakan semula sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad.
Bangunan itu juga mempunyai makna signifikan buat baginda kerana pernah berkhidmat di situ pada 1968 di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris sebelum ditempatkan di Pejabat Tanah Kuala Lumpur di bangunan Old Chartered Bank.
Sultan Sharafuddin berharap usaha pemuliharaan warisan seperti itu terus diperkasa, bukan sahaja melibatkan Bangunan Sultan Abdul Samad malah tapak-tapak warisan lain di Kuala Lumpur yang berkait sejarah Selangor.


