SIASATAN berhubung penyebaran kandungan yang didakwa menghina Sultan Selangor dengan menyunting imej baginda kini menumpukan kepada kemungkinan penglibatan akaun palsu sebagai dalang.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, seorang lelaki telah dirakam percakapan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), namun individu berkenaan menafikan memuat naik kandungan berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) tersebut.
Menurutnya, pihak MCMC kini bekerjasama dengan Meta Platforms serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan penelitian dan analisa forensik digital.
“Siasatan sedang meneliti beberapa perkara termasuk kemungkinan wujud elemen akaun palsu atau ‘agent provocateur’ yang sengaja mewujudkan akaun untuk memuat naik kandungan berkenaan sebelum memangsakan pihak lain serta mencetuskan kemarahan awam.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.
Beliau berkata, setakat ini tidak dapat ditolak kemungkinan kandungan tersebut dimuat naik melalui akaun palsu, dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesahkan perkara berkenaan.


