DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan pembangunan negara harus beralih kepada model lebih inovatif, dinamik, serta tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata.
Perdana Menteri berkata, perubahan itu perlu dilakukan memandangkan dalam suasana geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar, negara tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan lama.
Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) hari ini berkata, mesyuarat berkenaan telah meneliti pelbagai aspek perancangan fizikal negara dengan penekanan kepada pertumbuhan yang seimbang dan mampan, termasuk usaha memperkasa ekonomi tempatan serta memastikan penggunaan tanah yang lebih optimum dan berimpak tinggi.
‘’Kerajaan MADANI kekal komited untuk mengangkat kualiti hidup rakyat melalui penyediaan perumahan mampu milik yang berkualiti, sistem mobiliti yang lebih cekap, serta pembangunan persekitaran bandar yang selesa dan lestari,’’ katanya melalui Faceboo beliau.
Perdana Menteri berkata, pembangunan fizikal negara mesti berteraskan kesejahteraan rakyat ditambah dengan perancangan yang tersusun dan pelaksanaan yang berkesan, Insya-Allah kita akan terus memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.


