SEORANG pesara dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah mengambil gambar paha seorang peguam wanita secara senyap ketika mangsa sedang menjamu selera di sebuah restoran di Rawang, 8 April lalu.
Majistret Mahmoodah VM Abdul Latiff menjatuhkan hukuman itu terhadap S Anandhan selepas sabit kesalahan mencabul kehormatan mangsa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan fakta kes, tindakan jijik tertuduh terbongkar selepas mangsa menyedari perbuatannya sebelum membuat laporan polis.
Mangsa memaklumkan mengalami trauma akibat kejadian tersebut sehingga memerlukan rawatan terapi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafiz Aiman Badrisham, manakala tertuduh diwakili peguam V Kumar.


