PEMILIK tokong yang dibina di atas tanah rizab kerajaan di Jalan Jeti Anjung Batu di Pantai Siring, Jasin telah mengeluarkan semua peralatan penyembahan sebelum struktur bangunan itu dirobohkan pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan berkata, tindakan itu dibuat selepas persetujuan dicapai antara wakil pemilik tanah dan agensi berkaitan.
Menurutnya, kerja memadam tulisan kalimah Allah dilakukan terlebih dahulu oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) semalam.
“Semua bahan suci telah dipindahkan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan perobohan dilakukan,” katanya.
Tambahnya, pengalihan peralatan penyembahan itu dilakukan bagi menghormati kepercayaan penganut agama lain sebelum kerja perobohan dijalankan.
Semua peralatan berkenaan dikeluarkan oleh pemilik dan kerja perobohan dilaksanakan tanpa sebarang masalah selepas struktur itu disahkan tidak berdaftar.
Pengesahan pengeluaran bahan sembahan turut diperoleh melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Minyak yang berhubung dengan pemilik.
Operasi itu disaksikan wakil Pejabat Daerah dan Tanah, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Operasi perobohan bermula jam 10 pagi ini sebelum berakhir 30 minit oleh jengkaut sebuah agensi kerajaan.
Tokong berkenaan sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila tertera kalimah Allah dan Bismillahirrahmanirrahim yang ditulis dalam bahasa jawi pada dindingnya.


