SEORANG suspek kes gangguan seksual dalam tren baru-baru ini akhirnya berjaya ditahan pasukan Polis Bantuan Prasarana.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan, suspek warga asing berusia 19 tahun itu diberkas dalam satu operasi dilancarkan susulan laporan dibuat seorang saksi pada 8 April lalu.
Menurut kenyataan syarikat itu, suspek didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita di dalam tren Laluan Kelana Jaya.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek juga dipercayai terbabit satu lagi kes gangguan seksual di Stesen Kuchai, Laluan Putrajaya.
“Tindakan pantas pasukan Polis Bantuan Prasarana berjaya mengesan dan menahan suspek dalam masa kurang 24 jam, mencerminkan tahap kesiapsiagaan serta kecekapan pasukan dalam memastikan keselamatan pengguna.
“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan lanjut, dan pihak Rapid Rail akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rapid Rail pada masa yang sama selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, turut meminta semua pengguna segera membuat laporan kepada pegawai stesen atau anggota Polis Bantuan Prasarana yang bertugas jika melihat atau menjadi mangsa sebarang gangguan supaya tindakan pantas dan sewajarnya dapat diambil.


