PERKHIDMATAN trak tunda atau ‘towing’ dijangka terganggu selama tiga hari bermula esok hingga Selasa ini berikutan pengendali industri itu dijangka mengadakan mogok untuk menggesa kerajaan memberikan subsidi diesel bagi meneruskan operasi.
Menerusi satu poster pemakluman dikeluarkan syarikat insurans Zurich Takaful, antara kawasan yang dijangka paling terjejas adalah Lembah Klang dan berkemungkinan mogok itu turut memberi kesan kepada beberapa negeri lain di Semenanjung.
Poster itu turut memaklumkan waktu operasi trak tunda dalaman akan dilanjutkan bagi membantu pelanggan dengan perkhidmatan secara berjadual dibuat berdasarkan ketersediaan perkhidmatan.
Selain itu, pelanggan juga boleh mengatur trak tunda sendiri melalui pihak ketiga disebabkan gangguan operasi perkhidmatan dengan tuntutan semula boleh dibuat mengikut terma dan syarat ditetapkan.
Sementara itu, Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (Perwatam) mendesak kerajaan bertindak segera dengan menambah baik mekanisme subsidi diesel, bagi memastikan khidmat industri trak tunda tidak lumpuh.
Presidennya, Datuk Khairi Anuar Ahmad dalam satu kenyataan menegaskan sokongan dasar yang lebih realistik amat diperlukan bagi memastikan industri trak tunda terus beroperasi.
“Perwatam menegaskan bahawa tindakan segera tanpa kompromi perlu dilaksanakan oleh semua pihak.
“Sebarang kelewatan lanjut adalah tidak boleh diterima dan hanya akan memburukkan keadaan serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perlindungan insurans dan takaful di Malaysia,” katanya.
Khairi Anuar berkata, Perwatam turut mendesak semua syarikat pengendali insurans dan takaful am supaya segera menyemak serta melaraskan kadar bayaran kepada operator bantuan tunda.
Katanya, ini berikutan caj sedia ada tidak mencerminkan kos operasi sebenar dengan kegagalan menyesuaikan tarif menjejaskan keupayaan operator berfungsi secara efektif, seterusnya menyebabkan kelewatan bantuan, gangguan perkhidmatan dan peningkatan risiko keselamatan kepada pelanggan di lapangan.


