Hamzah mungkin sertai parti besar sedia ada, tolak cadangan tubuh parti baharu

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menolak kemungkinan untuk bersama 18 Ahli Parlimen yang menyokong agenda ‘Reset’ bergabung dengan sebuah parti besar sedia ada sebagai wadah politik.

Walaupun tidak mendedahkan parti yang dimaksudkan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Larut menyifatkan cadangan untuk menubuhkan parti politik baharu sebagai bukan jalan terbaik dalam landskap politik semasa.

Beliau sebaliknya berkata, usaha memperkukuh dan melakukan ‘reset’ parti sedia ada dianggap lebih relevan untuk masa depan negara.

Justeru, menurut Hamzah, keutamaannya ketika ini bukan untuk menubuhkan organisasi baharu, tetapi memastikan parti yang ada mampu menarik minat rakyat serta kekal relevan untuk jangka panjang.

“Parti tidak boleh sekadar menjadi platform pertemuan atau aktiviti semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan sebagai satu perjuangan yang jelas dan berprinsip.

“Ada orang tanya saya, (nak tubuh) parti baharu atau (sertai) parti lama… saya nak katakan, saya tak bersetuju untuk menubuhkan parti baharu, tetapi kalau kita masuk parti lama dan kita perbesarkan, itu saya bersetuju.

“Yang penting kita buktikan rumah yang kita masuk nanti adalah satu-satunya yang akan kita perbesar dan ‘resetkan’ untuk menjadi wadah perjuangan membela nasib agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Jamuan Pagi Raya anjuran Sekretariat Reset Melaka di Peringgit Point, di Melaka hari ini, lapor BH.

Yang turut hadir, Ketua Sekretariat Reset Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ditanya mengenai desas-desus menyertai Pas, Hamzah yang dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu memaklumkan beliau masih belum pasti untuk menyertai parti pembangkang itu.

“Kita dalam politik ini, desas-desus itu bukan kepastian. Jadi sebab itu saya (memilih untuk) tak menjawab (mengulas lanjut),” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah mengesahkan Reset Melaka akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Disember depan.

“Sudah pasti (Reset Melaka sertai PRN), sebab Melaka perlukan mereka yang berwawasan untuk mentadbir negeri,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img