Pengawal keselamatan cerita detik cemas bergelut perompak kedai emas Seksyen 14

SELAMA 10 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan, tidak pernah sekali pun terdetik di fikiran lelaki separuh abad ini untuk berhadapan situasi bergelut dengan perompak hingga boleh mengancam nyawanya.

Namun kejadian tidak diingini itu yang dilalui lelaki berusia lingkungan 50-an itu pada 16 Mac lalu ketika dia sedang bertugas di sebuah kedai emas di Seksyen 14, Petaling Jaya.

LOKASI kedai emas yang dirompak seorang penjenayah di Seksyen 14 Petaling Jaya pada 16 Mac lalu. Penjenayah terbabit maut ditembak oleh pengawal keselamatan. GAMBAR: Facebook pembaca

Insiden itu yang tular serta menyebabkan kematian suspek, sehingga kini masih menghantui dirinya namun tidak sampai menjejaskan kehidupan, malah lelaki itu sudah kembali bertugas seperti biasa selepas diberi cuti kira-kira dua minggu.

Mengimbau semula kejadian, dia berkata, ketika kejadian, kedai baru dibuka dan suasana masih tenang sehinggalah lelaki berpakaian serba hitam dan bertopeng tiba-tiba masuk serta mula menyerangnya menggunakan pisau Rambo.

“Kejadian itu berlaku pantas, dia masuk terus serang saya guna pisau. Dia toreh pipi saya kemudian grip dari belakang dan heret saya ke tengah kedai.

“Orangnya badan agak besar juga. Dah heret saya ke tengah kedai, dia duduk atas belakang saya, lepas itu campak beg kepada pekerja dan arahkan mereka memasukkan barang kemas.

“Pada masa sama pisau masih diletakkan di belakang kepala saya. Detik itu hanya wajah isteri dan anak-anak sahaja bermain di fikiran saya,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurut pengawal keselamatan itu, dalam kedudukan ditekan dari belakang, tidak banyak yang dapat dia lakukan untuk menyelamatkan diri sehinggalah perompak terbabit bangun untuk memberi arahan kepada jurujual.

“Saya nampak ada peluang untuk saya bertindak. Masa itu tak fikir apa dah, tiba-tiba datang rasa berani, rasa marah pun ada juga.

“Bila saya nampak peluang saya cuba melawan, saya pegang pisau itu dengan kedua-dua tangan. Ketika itu tak rasa sakitlah, (tapi) lepas habis semua barulah terasa (sakit).

“Memang saya pegang sekuat-kuat hati pisau itu dan perompak cuba melawan. Berlaku pergelutan sebelum seorang lagi kawan saya (pengawal keselamatan) datang dari kedai sebelah,” katanya yang menerima sembilan jahitan di tapak tangan selepas menahan serangan pisau.

Menurutnya, kedai emas berkenaan terdiri daripada dua premis yang terletak bersebelahan dan disambungkan dengan sebuah pintu di bahagian belakang.

Dia berkata, perompak berkenaan cuba melarikan diri sebaik melihat kehadiran seorang lagi pengawal keselamatan, namun ditumpaskan selepas terkena tembakan daripada senapang patah rakannya.

Katanya lagi, dia tidak mengecam wajah perompak itu disebabkan topeng dipakai, namun mendengar lelaki terbabit bertutur dalam bahasa Cina ketika memberi arahan kepada pekerja kedai emas.

“Pengawal keselamatan syarikat kami semuanya menerima latihan untuk mempertahankan diri dan latihan menembak tetapi dalam situasi cemas macam itu macam-macam boleh berlaku.

“Terkejut sikit biasa lah. Kita pun bukan polis, kita pengawal keselamatan. Ini pertama kali saya hadapi benda macam ini selepas 10 tahun bekerja dalam bidang ini, selalu dengar kawan-kawan kena, kali ini kena sendiri.

“Syukur, Alhamdulillah tiada apa-apa serius berlaku kepada saya dan semua pekerja dalam kedai ketika itu. Saya pun sudah kembali bekerja seperti biasa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, kes rompakan di sebuah kedai emas itu dianggap selesai berikutan suspek sudah meninggal dunia.

Katanya, suspek maut ditembak pengawal keselamatan dan siasatan turut mendapati lelaki tempatan itu tidak mempunyai rekod serta melakukan kegiatan jenayah secara solo.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img