POLIS memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dihubungi ketika berada di Stesen Bas Larkin, Johor pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan kehilangan Muhammad Izwan Omar, 27, dibuat oleh isterinya jam 9 pagi semalam.
Menurutnya, pengadu memaklumkan kali terakhir bertemu suaminya adalah pada Rabu, kira-kira jam 10 malam di Hentian Raya Bentong, Pahang.
“Pada Khamis, Muhammad Izwan ada menghubungi isterinya dan memaklumkan dia tertidur di Stesen Bas Larkin, Johor.
“Bagaimanapun selepas itu dia gagal dihubungi dan terus hilang hingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaiham memberitahu, Muhammad Izwan berkulit gelap, berketinggian kira-kira 166 sentimeter, berat sekitar 107 kilogram dan berbadan gempal.
“Kali terakhir dia dilihat memakai baju panas (sweater) dan seluar berwarna hitam,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong di talian 09-223 1999.


