Dua wanita maut nahas lima kenderaan di Lahad Datu

DUA wanita maut dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan termasuk sebuah lori dan jentera pembinaan di Kilometer 14, Jalan Lahad Datu-Tawau di Lahad Datu semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemandu kereta Proton Saga, Indak Salbiah, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang kereta yang sama, Nur Atiqa Qistina Madja Asmadi, 35, meninggal dunia semasa dibawa ke hospital.

LORI pembuang dan Perodua Alza terbabas ke dalam gaung dalam nahas lima buah kenderaan di Lahad Datu semalam. GAMBAR: Facebook pembaca

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku apabila Proton Saga yang dinaiki tujuh individu dari arah Tawau menghala ke Lahad Datu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan.

“Kereta itu kemudian bertembung dengan sebuah lori rigid dumper (lori pembuang) dipandu lelaki berusia 45 tahun. Lori itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan, lalu melanggar kereta Perodua Alza serta sebuah motosikal sebelum kereta Perodua Alza itu melanggar jentera Hitachi di lokasi pembinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, lori dan kereta Perodua Alza berkenaan terjatuh ke gaung berhampiran kawasan pembinaan Jalan Pan Borneo.

“Lima penumpang kereta Proton Saga serta penunggang motosikal dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori dan pemandu Perodua Alza dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img