Kes guru rempuh pelajar : Ibu saudara Nur Fatimatul Hawa reda, serah siasatan polis

IBU saudara kepada pelajar perempuan yang maut dirempuh kereta di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Pengkalan Chepa, masih dalam keadaan terkejut dan menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan pihak berkuasa.

Zuraifah Noor, 43, berkata, keluarga belum bersedia untuk mempertimbangkan sebarang tindakan undang-undang kerana masih berdepan emosi tidak stabil susulan kejadian itu.

Menurutnya, sebagai penjaga utama arwah sejak lima tahun lalu, beliau secara peribadi memilih untuk memaafkan, namun keputusan lanjut bergantung kepada ahli keluarga lain termasuk bapa mangsa.

“Setakat ini kami tidak bercadang mengambil tindakan sendiri kerana tidak mahu mengganggu siasatan. Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan mengikut undang-undang,” katanya ketika ditemui di Kampung Gayong, hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, kejadian tersebut masih terlalu awal untuk dibincangkan secara rasional dan keluarga kini hanya menunggu hasil siasatan pihak polis serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, secara logik, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di kawasan sekolah yang seharusnya bebas daripada kenderaan, namun beliau reda dan menerima sebagai ketentuan.

“Kita manusia, tiada siapa yang mahu melanggar orang dengan sengaja. Apa yang berlaku di luar jangka,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraifah memaklumkan beliau sempat bertemu keluarga guru yang terlibat ketika masing-masing berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), semalam.

“Masa jumpa, saya nak kata marah pun tidak. Perasaan itu kosong. Kami hanya bersalam dan tidak mampu bercakap panjang,” katanya.

Beliau turut meminta keluarga guru berkenaan agar tidak berkunjung ke rumah buat masa ini bagi menjaga emosi keluarga mangsa.

“Saya mungkin boleh memaafkan, tetapi ahli keluarga lain saya tidak pasti. Buat masa ini, kami minta jangan datang dahulu,” katanya.

Terdahulu, seorang pelajar Tingkatan Satu maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh kereta dipandu seorang wanita di hadapan surau sekolah berkenaan kira-kira jam 1.50 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai tersilap menekan pedal minyak sebelum kenderaan terbabas dan merempuh mangsa.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi masih menerima rawatan di hospital.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img