SEORANG lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan jirannya dengan parang kerana berang mangsa meletakkan kenderaan di hadapan rumahnya.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lim Huat Seng, 68, selepas mengambil kira fakta kes, pengakuan bersalah serta kecederaan dialami mangsa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang penganggur didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 70 tahun menggunakan parang di sebuah rumah di Kampung Sungai Ayam, pada jam 7 pagi, 3 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa didatangi tertuduh dalam keadaan marah kerana tidak berpuas hati dengan tindakan meletakkan kereta di hadapan rumahnya.
Tertuduh kemudian bertindak menghayun parang ke arah mangsa sehingga terkena tapak tangan dan menyebabkan kecederaan serta pendarahan.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk menerima rawatan lanjut, dengan kecederaan yang dialami disahkan konsisten menerusi laporan perubatan awal.
Susulan laporan dibuat, polis menahan tertuduh pada jam 1.30 tengah hari hari sama tidak jauh dari lokasi kejadian.
Hasil soal siasat, polis berjaya merampas parang yang digunakan selepas tertuduh menunjukkan lokasi senjata itu disembunyikan di dasar sungai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.


