WALAUPUN satu demi satu tangkapan dilakukan dan pihak berkuasa semakin mempertingkatkan usaha bagi membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi, namun masih ada yang berani melakukan kegiatan haram itu.
Terbaru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, menumpaskan sindiket yang dipercayai memanipulasi bekalan diesel bersubsidi kepada nelayan dengan rampasan empat bot di jeti nelayan Kampung Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Rampasan dilakukan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) pada jam 4.53 petang semalam, melibatkan empat bot dengan muatan 3,300 liter diesel dan empat lelaki tempatan berusia sekitar 20-an hingga 40-an ditahan.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, aktiviti pengumpulan diesel dilakukan dengan memindahkan barang kawalan itu daripada bot kecil ke bot bersaiz besar menggunakan pam.
“Aktiviti pemindahan dilakukan menggunakan pam dan hos selain mengubah suai tangki tambahan serta ruang simpanan ikan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Siasatan awal mendapati sindiket itu memanipulasi bekalan diesel bersubsidi yang disyaki diperuntukkan kepada nelayan namun siasatan lanjut perlu dijalankan bagi mengenalpasti dari mana diesel itu diperoleh.
“Empat lelaki tempatan turut ditahan dan ketika serbuan, mereka sedang menjalankan kerja pemindahan diesel dari bot kelas A ke C,” katanya pada sidang media hari ini.
Aswadi berkata, diesel yang dikumpulkan itu dipercayai mahu diseludup ke Thailand melalui jalan laut dan sebahagiannya dijual kepada pengusaha kapal besar.
Katanya, KPDN menyita empat bot kelas A dan C manakala pemiliknya masih dikesan.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 18 stesen minyak yang beroperasi dalam lingkungan 25 kilometer (km) dari sempadan dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ melibatkan daerah Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah.


