Lelaki Rohingya didakwa bunuh rakan senegara, cederakan wanita

SEORANG lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki etnik sama dan mencederakan seorang wanita dalam kejadian di Taman Belibis, Simpang Empat, pada 31 Mei lalu.

Tertuduh, Osman Bawdi Alom, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan membunuh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Osman didakwa membunuh Abdul Rahman Shah Mia, 31, di sebuah rumah di Taman Belibis antara jam 2.50 pagi hingga 2.54 pagi pada 31 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan kerana didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita, Formin Lal Mia, 26, menggunakan pisau di lokasi dan masa sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Osman mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan wanita terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh diwakili peguam G Sathiash.

Mahkamah menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Turut dihadapkan ke mahkamah sama ialah dua wanita Rohingya dikenali sebagai Humaira Abd Gadir, 18, dan Minara Lal Miah, 29.

Humaira merupakan isteri kepada Osman manakala Minara adalah adik ipar mangsa.

Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan kes mereka sehingga 23 Jun depan bagi membolehkan jurubahasa Myanmar dilantik selepas kedua-dua tertuduh memaklumkan mereka tidak memahami Bahasa Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan Osman, Humaira dan Minara ditahan polis selepas insiden tikaman yang mengorbankan Abdul Rahman di lokasi kejadian.

Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian rumah tangga, manakala sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img