Langgar lari polis trafik, suspek inspektor disahkan hidap skizofrenia

SEORANG anggota polis trafik cedera selepas dilanggar lari ketika bertugas sebelum suspek berjaya diberkas dalam kejadian kejar-mengejar di Jalan Cheras hingga Jalan Empat, Chan Sow Lin, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.47 malam di Jalan Sultan Yahya Petra menghala ke PULAPOL Kuala Lumpur.

Menurutnya, mangsa, Konstabel Roslan Salleh, 27, dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Perodua Axia ketika sedang mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning.

“Pemandu kenderaan terbabit melarikan diri tanpa berhenti memberi bantuan. Mangsa mengalami luka di tapak tangan kanan, belakang kepala serta sakit di bahagian rusuk sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan siasatan, kenderaan suspek berjaya dikesan kira-kira jam 3.45 petang di Jalan Cheras hasil risikan dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Namun, cubaan menahan kenderaan itu gagal apabila pemandu bertindak melarikan diri secara berbahaya sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar dari Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin.

“Sepanjang kejadian, suspek melanggar beberapa kenderaan awam termasuk sebuah Mercedes-Benz dan Proton Saga, selain merosakkan sebuah kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis,” katanya.

Menurutnya, suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun akhirnya berjaya ditahan dengan bantuan Unit MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan IPD Brickfields.

“Siasatan mendapati suspek merupakan seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor yang sedang bercuti sakit dan dalam proses persaraan atas faktor kesihatan,” katanya.

Fadil berkata, suspek turut disahkan mempunyai masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia dan sedang menerima rawatan.

“Ujian pernafasan alkohol mendapati keputusan negatif, manakala ujian saringan air kencing akan dijalankan bagi melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Setakat ini, tujuh kenderaan sudah tampil membuat laporan polis membabitkan lima kereta awam, satu MPV polis dan satu motosikal awam milik pegawai polis.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img