Guna taktik jadi kurier, dua beranak edar 40 kg ganja dicekup

TAKTIK dua beranak berselindung di sebalik perniagaan kurier, jualan buah-buahan dan insurans kenderaan untuk mengedar dadah terbongkar apabila mereka diberkas polis Sabtu lalu.

Serbuan kira-kira jam 1 tengah hari di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang itu membawa kepada rampasan 40 kilogram ganja bernilai RM120,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dua suspek ditahan membabitkan lelaki berusia 40 tahun bersama anak lelakinya berusia 25 tahun.

“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan, polis menemui satu bungkusan di belakang premis mengandungi 40 kilogram tumbuhan kering dipercayai ganja.

“Siasatan awal mendapati lelaki berusia 40 tahun bertindak sebagai koordinator manakala anaknya berperanan sebagai runner (penghantar),’” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini, lapor Buletin TV3.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar bekalan dadah, selain menjadikan premis milik mereka sebagai lokasi operasi.

Premis itu turut menjalankan perniagaan menjual buah-buahan dan menawarkan perkhidmatan insurans kenderaan ke Thailand sebagai helah mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, bekalan dadah terbabit dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Polis turut menyita premis, sebuah kenderaan, motosikal, wang tunai RM184,800 serta barang kemas, menjadikan keseluruhan rampasan termasuk dadah hampir RM1 juta,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jumlah dadah dirampas itu dianggarkan boleh merosakkan lebih 80,000 penagih,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img