KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar meminta lebih 200,000 penjawat awam yang akan memulakan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) mulai esok agar menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti.
Menurutnya, kerajaan berkeyakinan penjawat awam yang terlibat akan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dari rumah dengan penuh amanah, biar pun tidak hadir di pejabat.
“Kerajaan meluluskan dasar BDR bermula esok, tetapi saya yakin penjawat awam tidak baring, duduk dan rehat, serta tidak membeli-belah di pasar raya.
“BDR tidak boleh dijadikan alasan untuk melambatkan atau menangguhkan program dirancang, sebaliknya penjawat awam perlu menyemak semula pelaksanaan program supaya selaras dengan dasar penjimatan semasa tanpa membatalkan keperluan penting,” katanya ketika berucap pada Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor hari ini.
Berikutan krisis tenaga global dan sebagai sebahagian usaha penjimatan kos, kerajaan bersetuju melaksanakan dasar BDR membabitkan kementerian, agensi, badan berkanun serta GLC bermula esok.
Pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu bagi penjawat awam itu bagi memastikan penggunaan bahan api lebih cekap, selain mengurangkan kos operasi kerajaan sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga global.
Bagaimanapun, dasar itu hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat.
Shamsul Azri berkata, kelulusan untuk pelaksanaan BDR bagaimanapun bergantung kepada ketua jabatan masing-masing, berdasarkan faktor keperluan dan kesesuaian tugas.
“Sistem BDR sedia ada mampu menampung sehingga 200,000 penjawat awam, namun bukan semua akan diluluskan kerana ia tertakluk kepada pertimbangan ketua jabatan,” katanya.
Dasar itu juga tidak termasuk kakitangan awam dalam sektor keselamatan dan pertahanan serta kesihatan dan pendidikan.


