CUBAAN tujuh lelaki termasuk dua warga Indonesia memindahkan minyak hitam kapal secara haram terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) dalam dua operasi berasingan di sekitar Kuala Langat, semalam.
Komander PPM Wilayah Satu Pelabuhan Klang, Asisten Komisioner Jafri Bidin berkata, operasi bermula kira-kira jam 10 pagi membabitkan Unit Gempur Marin (UNGGERIN), Unit Risikan Marin (URM) serta bot ronda PSC 15.
Menurutnya, pihaknya mengesan sebuah lori tangki mencurigakan di sekitar Pulau Carey sebelum mengekori kenderaan itu ke sebuah lot tidak beralamat di kawasan perindustrian Segenting, Telok Panglima Garang.
“Hasil serbuan, lima lelaki tempatan ditahan ketika sedang memindahkan minyak hitam dari lori ke beberapa tangki simpanan jenis skid tank dan IBC tank.
“Pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 182,000 liter minyak hitam bersama pelbagai peralatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM11.4 juta, termasuk sembilan skid tank, minyak hitam, lima IBC tank, dua lori tangki serta sebuah kapal besi.
Dalam operasi berasingan di pinggir Sungai Langat, PPM turut menahan dua lelaki warga Indonesia di atas sebuah kapal kargo.
“Kapten kapal mengakui terbabit dalam pemindahan minyak ke lokasi serbuan pertama.
“Kesemua suspek berusia antara 17 hingga 59 tahun kini ditahan dan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 serta undang-undang pihak berkuasa tempatan.
“Rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di laut dan pesisiran pantai kepada pihak berkuasa.


