PEMANDU bas ekspres yang tular kerana melakukan perbuatan tidak senonoh dengan meriba seorang wanita ketika kenderaan itu sedang bergerak dijangka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin esok.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert memaklumkan, kedua-dua individu berkenaan telah berjaya dikenal pasti dan dihubungi.
“Untuk makluman, pemandu telah berjaya dihubungi dan dia bersama wanita tersebut akan hadir ke IPD Jasin pada Rabu.
“Dimaklumkan wanita berkenaan kini berada di Kedah dan akan kembali ke Kuala Lumpur pada malam ini,” katanya hari ini.
Menurut Lee, pemandu berkenaan turut memaklumkan bahawa dia kini berada di Sungai Besi dan akan hadir ke IPD Jasin seperti dijanjikan.
Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, kedua-dua individu terbabit diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular yang memaparkan tindakan berbahaya ketika memandu.
Kejadian berlaku ketika kenderaan berada di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Jasin dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kulai, Johor.
Difahamkan, pemandu bas berusia 36 tahun dan merupakan suami orang, manakala wanita terbabit dipercayai kenalannya.
Susulan video tular itu, pemandu bas berkenaan telah ditamatkan perkhidmatan selain turut disiasat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


