PENYELARAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Pahang, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said menafikan dakwaan dibuat individu dikenali sebagai Salman Al Farisi Muhammad yang mendakwa peruntukan RM15,000 seminggu kepada penyelaras DUN sebagai tindakan merampas hasil negeri.
Ismail berkata, dakwaan yang dibuat dalam media sosial itu adalah tidak tepat serta berunsur fitnah terhadap beliau dan juga semua penyelaras DUN di negeri berkenaan.

Menurut beliau, kenyataan berkenaan merujuk kepada satu pekeliling Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Pahang bertarikh 10 April 2026 mengenai kelulusan peruntukan Program Khas Agihan Bakul Makanan Asas kepada golongan sasar yang terkesan dan memerlukan.
“Program berkenaan dilaksanakan susulan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu ekoran konflik di Asia Barat yang pelaksanaan agihan bantuan makanan asas kepada golongan memerlukan bagi tempoh satu bulan bermula 13 April hingga 10 Mei 2026.
“Peruntukan berkenaan bukan untuk kegunaan peribadi penyelaras DUN, sebaliknya ia adalah bagi tujuan program bantuan kepada rakyat yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosoal hari ini.
Ismail berkata, dakwaan bahawa penyelaras DUN ‘menjarah hasil negeri’ adalah tidak berasas serta memberi gambaran negatif yang tidak tepat terhadap pelaksanaan program kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau menuntut individu terbabit menarik balik kenyataan berkenaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Saya ingin menegaskan supaya Salman Al Farisi menarik semula dan memohon maaf secara terbuka mengenai kenyataan terbabit. Kalau tidak, saya selaku Penyelaras DUN Jengka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Tunggu dan lihat apa tindakan saya. Ini kali pertama saya respon terhadap kenyataan Salman yang begitu kasar, berniat jahat dan memfitnah Penyelaras DUN.
“Sedangkan RM15,000 ini adalah untuk membantu golongan yang memerlukan akibat daripada konflik Asia Barat iaitu peperangan Amerika Syarikat (AS) bersama Israel terhadap negara-negara Islam seperti Iran, Lubnan, Palestin dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan di media sosial, Salman Al Farisi mendakwa, penyelaras DUN menerima peruntukan sehingga RM15,000 seminggu yang disifatkan sebagai pembaziran dan merampas hasil negeri, selain mengaitkannya dengan isu kos sara hidup rakyat yang meningkat.


