MESYUARAT Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menetapkan hala tuju jelas dalam mengurus krisis tenaga global yang semakin meruncing dan dijangka berpanjangan.
Perdana Menteri berkata, keutamaan kerajaan kini adalah untuk melindungi kesejahteraan rakyat di samping memastikan setiap langkah diambil secara berdisiplin dan realistik.

“Pendekatan utama ketika ini adalah menjamin bekalan tenaga dan barangan asas agar kehidupan harian rakyat tidak terjejas. Usaha ini digerakkan melalui peranan penting Petronas serta perancangan awal bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dalam bulan-bulan mendatang.
“Dalam masa sama, tindakan menampan kenaikan kos diperkukuh melalui bantuan tambahan subsidi diesel kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu.
“Pengurusan permintaan turut dipertingkat melalui kecekapan penggunaan tenaga, termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi penjawat awam bermula esok. Pada masa sama, Ops Tiris dipergiat bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara,” kata beliau dalam hantarannya di laman sosial Facebook rasmi beliau malam ini.
Menurut Anwar, bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan mempercepat usaha peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang tidak menentu.
Beliau berkata, biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat, dengan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada.
“Pendekatan ini membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu sistem baharu dibangunkan sepenuhnya,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, dengan asas industri dan kapasiti domestik yang kukuh, langkah itu bukan sahaja menstabilkan bekalan semasa, tetapi membina daya tahan tenaga negara agar kehidupan rakyat kekal terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Insya-Allah, kita harungi cabaran ini dengan tekad, disiplin dan kebersamaan,” tambahnya.


