SEORANG penjawat awam kerugian lebih RM50,000 selepas terpedaya dengan pembelian kenderaan terpakai atas talian dan khidmat perunding tidak wujud.
Mangsa iaitu kakitangan lelaki berusia 48 tahun itu mulanya terperdaya dengan tawaran jualan kereta terpakai menerusi iklan dalam media sosial pada 8 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berminat dengan tawaran itu kemudiannya membuat enam kali transaksi pindahan wang ke dalam dalam lima akaun berbeza.
“Selepas membuat pembayaran itu, mangsa mula berasa curiga dengan urusan pembelian secara dalam talian terbabit dan mengesyaki dirinya tertipu.
“Selepas itu mangsa membuat carian di media sosial untuk mendapatkan khidmat perunding pula bagi menyelesaikan masalah penipuan terbabit dan berhubung dengan seorang individu yang mengaku pegawai penyiasat komersial,” katanya.
Azli berkata, bagi tujuan menyelesaikan masalah berkenaan, mangsa kemudiannya membuat tiga transaksi ke tiga akaun berbeza.
Menurutnya, dalam masa sama mangsa cuba membuat pinjaman wang melalui dalam talian untuk menyelesaikan masalah pembelian kereta terbabit.
Katanya, mangsa mendakwa turut tertipu dengan tawaran pinjaman wang itu selepas 10 kali transaksi ke tiga akaun berbeza hingga mengalami kerugian keseluruhan RM53,035.
“Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 4.29 petang semalam.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala sumber kewangan mangsa itu adalah wang simpanan dan hasil pinjaman dengan ahli keluarga,” katanya.


