KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan tular kononnya sebuah stesen minyak di Kampung Bukit Payong ditutup sepenuhnya akibat kehabisan bekalan.
Pengarah KPDN negeri, Mohd Mufsi Lat berkata, siasatan mendapati stesen minyak berkenaan masih beroperasi seperti biasa.
Menurutnya, situasi sebenar hanya melibatkan penutupan satu atau dua pam sahaja susulan kekurangan bekalan sementara.
“Pengurus wilayah syarikat minyak itu turut menafikan dakwaan stesen minyak berkenaan ditutup sepenuhnya.
“Siasatan mendapati bekalan bahan api mencukupi, namun berlaku gangguan sementara pada beberapa pam kerana kekurangan bekalan dalam tangki,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pam yang terjejas itu kembali beroperasi selepas menerima bekalan baharu.
Dalam perkembangan sama, Mohd Mufsi berkata pihaknya merampas diesel dan petrol bersubsidi hasil aktiviti penyelewengan membabitkan nilai RM10,595 sejak Januari lalu.
“Rampasan hasil 38 pemeriksaan dijalankan terutama di stesen minyak seluruh negeri, dengan lima kes direkodkan,” katanya.


