Lelaki Indonesia direman dua hari kes sembunyi kelahiran, kematian bayi

SEORANG lelaki warga Indonesia yang ditahan bagi membantu siasatan kes menyembunyikan kelahiran bayi lelaki yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah rumah di Labu pada 3 April lalu, direman dua hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu direman bermula hari ini hingga esok.

“Permohonan reman dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tata Cara Jenayah dan Mahkamah Majistret Seremban membenarkan suspek direman selama dua hari.

“Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan proses siasatan dilakukan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan tujuan melupuskan mayat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kehadiran seorang wanita warga asing di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban semalam untuk mendapatkan rawatan akibat pendarahan telah membongkar kes menyembunyikan kelahiran sorang bayi lelaki.

Kejadian tersebut diketahui selepas polis menerima maklumat daripada seorang pegawai perubatan hospital mengenai kematian seorang bayi lelaki di sebuah rumah di kawasan Labu.

Laporan tersebut dibuat selepas pegawai itu menerima seorang pesakit wanita warga asing berusia lingkungan 30-an yang mendapatkan rawatan dalam keadaan mengalami pendarahan serta komplikasi kesihatan.

Hasil maklumat awal diperolehi, wanita terbabit dipercayai telah melahirkan anak kembar di rumah tanpa bantuan perubatan dan salah seorang daripadanya dilaporkan telah meninggal dunia selepas dilahirkan.

Mayat bayi tersebut kemudiannya telah ditanam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img