Krisis tenaga global: Persatuan Peguam Syarie cadang prosiding sebutan kes dibuat dalam talian

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) hari ini mencadangkan mahkamah syariah di seluruh negara untuk menjalankan prosiding sebutan kes secara dalam talian berikutan kekangan krisis tenaga global ketika ini.

Presidennya, Musa Awang berkata, cadangan ini bertujuan sebagai satu langkah penjimatan dan dapat membantu mengurangkan beban tenaga, susulan krisis tenaga global yang masih berterusan dan dijangka berpanjangan.

Menurut beliau, fokus awal boleh dimulakan di kawasan berimpak tinggi seperti di Lembah Klang dan semua ibu negeri serta bandar-bandar utama lain, khususnya yang mengalami masalah kesesakan jalan raya, sebelum dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara secara berperingkat.

“Pelaksanaan ini diharap dapat membantu mengurangkan beban tenaga, selain memberi keseimbangan dan memastikan kelangsungan kehidupan kepada masyarakat awam dan Peguam Syarie yang terlibat.

“Selain itu, ia sebagai sebahagian langkah strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Musa, cadangan itu hanya melibatkan prosiding sebutan kes kerana bagi prosiding perbicaraan, keputusan atau Majlis Sulh, ia memerlukan penglibatan masyarakat awam dan Peguam Syarie yang berurusan di mahkamah syariah.

Kata beliau, daripada sudut undang-undang syariah, prosiding secara dalam talian atau menerusi teknologi komunikasi jarak jauh boleh dijalankan.

Tambahnya, mengikut Seksyen 40A, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993 (Pindaan 2024), seseorang Hakim atau Pendaftar yang menjalankan suatu prosiding bagi kes mal boleh menentukan supaya prosiding itu atau mana-mana bahagian prosiding itu dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

“Selain itu, mengikut Seksyen 3 Enakmen Tata Cara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2022), `hadir’ termasuklah kehadiran oleh mana-mana orang secara teknologi komunikasi jarak jauh, sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah,” jelas beliau.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img