Kenapa subsidi diesel bersasar antara Semenanjung, Sabah Sarawak berbeza?…ini jawapan MoF

PELAKSANAAN subsidi diesel bersasar membuka satu hakikat yang sukar disangkal iaitu Malaysia bukan satu landskap penggunaan tenaga yang seragam.

Di sebalik angka penggunaan berbilion liter, wujud jurang ketara antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak serta Labuan dan ia dipacu faktor geografi, infrastruktur dan keperluan hidup harian.

Menurut Kementerian Kewangan, dasar subsidi bersasar yang berteraskan prinsip keperluan penggunaan dan kesamarataan diperkenalkan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Kata kementerian itu, di Semenanjung Malaysia, kerajaan menyalurkan bantuan RM400 menerusi program BUDI Diesel bagi mengurangkan tekanan kos kepada pengguna yang layak.

Namun kata kementerian terbabit, pendekatan berbeza diambil di Sabah, Sarawak dan Labuan apabila harga diesel dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, bukan sekadar langkah ekonomi, tetapi pengiktirafan terhadap peranan kritikal diesel sebagai nadi kehidupan di wilayah tersebut.

Secara keseluruhan, penggunaan diesel negara mencecah 6.7 bilion liter, merangkumi pelbagai inisiatif termasuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), BUDI Individu, BUDI Agri-Komoditi dan sektor perikanan.

Daripada jumlah itu, kira-kira dua bilion liter digunakan di Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja, angka signifikan yang mencerminkan tahap kebergantungan tinggi di kawasan berkenaan.

“Walaupun hanya dihuni sekitar 5.97 juta penduduk, Sabah dan Sarawak memiliki keluasan geografi lebih 60 peratus lebih besar berbanding Semenanjung. Keadaan ini, ditambah dengan bentuk muka bumi yang mencabar serta kawasan pedalaman yang luas, menghadkan akses jalan raya dan meningkatkan kebergantungan kepada pengangkutan air serta kenderaan pacuan empat roda.

“Di banyak kawasan luar bandar, liputan elektrik dan infrastruktur masih belum menyeluruh, menjadikan diesel sebagai sumber tenaga utama, bukan sahaja untuk pergerakan, malah untuk penjanaan elektrik melalui generator,” kata Kementerian Kewangan dalam satu hantaran video grafik di sosial media.

Selain itu, menurut Kementerian Kewangan, kos logistik yang lebih tinggi akibat jarak penghantaran jauh melalui sungai dan laut turut menyumbang kepada keperluan diesel yang berterusan, khususnya bagi aktiviti ekonomi seperti pengangkutan dan perikanan.

Perbezaan ini memperlihatkan bahawa dasar tenaga negara tidak boleh dilihat melalui satu lensa yang sama. Sebaliknya, ia menuntut pendekatan bersasar dan fleksibel, selari dengan realiti lapangan yang membentuk cara hidup rakyat di setiap wilayah.

“Dalam konteks ini, subsidi diesel bukan sekadar isu fiskal, tetapi cerminan kepada keadilan sosial dan keseimbangan pembangunan antara wilayah di Malaysia,” kata kementerian itu lagi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img