SEKURANG-kurangnya rejim Zionis membunuh lima rakyat Palestin dan mencederakan beberapa orang lagi dalam satu serangan yang menyasarkan sekumpulan orang awam di Gaza City malam tadi, ketika serangan harian terus berlaku walaupun terdapat gencatan senjata.
Pasukan Pertahanan Awam Palestin memaklumkan bahawa serangan udara Israel berhampiran sebuah persimpangan di kem pelarian Shati mengorbankan beberapa individu.
Petugas perubatan di Hospital Al-Shifa mengesahkan menerima lima mayat mangsa akibat “serangan dron Israel” yang melibatkan dua peluru berpandu dan mengenai sekumpulan orang di kawasan tersebut.
Menurut pegawai kesihatan, serangan itu berlaku berhampiran sebuah kafe dan turut menyebabkan beberapa individu lain cedera.
Serangan berkenaan berlaku hanya beberapa jam selepas satu lagi serangan Israel menyasarkan kenderaan polis di Jalan Al-Nafaq di Gaza City, mengorbankan sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan seorang anggota polis yang sedang bertugas.
Dalam kejadian berasingan di utara Gaza berhampiran Jabaliya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun, Ahmed Halawa, mati ditembak oleh tentera Israel.
Situasi keselamatan di Gaza dilaporkan semakin meruncing dengan peningkatan ketara serangan Israel walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu akibat serangan Israel.
Sejak gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Oktober lalu, Israel didakwa telah melanggarnya lebih 2,070 kali, mengakibatkan ratusan kematian serta menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan.
Pasukan Israel juga dilaporkan telah membunuh lebih 750 rakyat Palestin sejak pelaksanaan gencatan senjata, termasuk lebih 300 kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Secara keseluruhan, lebih 72,000 rakyat Palestin terkorban sejak konflik bermula pada 7 Oktober 2023.
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Volker Türk, mengecam keganasan terbaharu Israel di Gaza dengan menyifatkannya sebagai “corak pembunuhan berterusan” yang mencerminkan “kekebalan meluas” Israel daripada tindakan undang-undang.
Beliau berkata, sepanjang 10 hari lalu, rakyat Palestin terus menjadi sasaran serangan ketika berada di kediaman yang musnah, pusat perlindungan, khemah pelarian, jalan raya, kenderaan, kemudahan perubatan dan juga bilik darjah.
Sementara itu, organisasi perubatan antarabangsa Médecins Sans Frontières (MSF) menyatakan bahawa enam bulan selepas gencatan senjata, keadaan di Gaza masih “katastrofik” dengan serangan berterusan serta sekatan yang menjejaskan kehidupan penduduk.
MSF turut menegaskan bahawa situasi semasa menunjukkan kegagalan gencatan senjata untuk menghentikan penderitaan rakyat Palestin di wilayah tersebut.


