SEMUA timbalan pendakwa raya diwajibkan meneliti dan memfailkan permohonan pampasan terhadap keluarga mangsa jenayah, termasuk kes kematian akibat pemandu mabuk.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang mengeluarkan arahan itu berkata, pelaksanaan dan pemakaian Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) di bawah Akta 593 memperuntukkan kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan pembayaran kos pendakwaan dan pampasan kepada mangsa jenayah.

“Perintah itu boleh dibuat sebagai tambahan kepada hukuman denda atau penjara, bertujuan memberi ganti rugi kepada pihak yang teraniaya.
“Ia bagi memastikan mangsa terbabit memperoleh pampasan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang dalam kes bersesuaian demi menegakkan keadilan, selain memelihara kepentingan awam,” katanya lapor Berita Harian.
Dusuki berkata, dalam membuat permohonan itu, pihak pendakwaan perlu mengemukakan kepada mahkamah dalam prosiding inkuiri semua faktor yang disenaraikan mengikut subseksyen 426(1C) Akta 593.
“Ia bagi membolehkan mahkamah membuat perintah sewajarnya dalam memberi jumlah pampasan bersesuaian kepada mangsa atau keluarga mangsa. Bagi tujuan ini, wujud keperluan memperoleh beberapa maklumat tambahan bagi membolehkan kehendak itu dipenuhi,’’ katanya.
Subseksyen 426(1C) di bawah Akta 593 adalah sebahagian daripada peruntukan mengenai perintah pembayaran pampasan oleh mahkamah kepada mangsa jenayah.
Dalam pada itu, Dusuki berkata, Jabatan Peguam Negara sedar permohonan di bawah Seksyen 426 bukan amalan lazim dilaksanakan timbalan pendakwa raya dan tidak dilaksanakan secara menyeluruh dalam semua kes.
“Jabatan ini kekal komited untuk menjalankan pendakwaan secara bebas, adil, dan berintegriti demi memastikan keadilan ditegakkan dan kepentingan awam serta kepentingan mangsa jenayah sentiasa terpelihara,” katanya.


