‘’Untuk pembunuh bayi, saya ingatkan Turkiye bukan negara biasa’’ kata Erdogan kepada Netanyahu

PRESIDEN Turkiye  Recep Tayyip Erdogan menolak keras kenyataan terbaru penjenayah anatarabangsa yang juga Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, sambil memberi amaran bahawa tiada mana-mana negara atau pemimpin boleh mengugut Turkiye, serta menyeru usaha diplomatik diperbaharui bagi mengekalkan gencatan senjata dalam konflik Iran.

“Untuk mereka pembunuh bayi yang menyasarkan saya dan negara saya di media sosial, saya ingatkan sekali lagi beberapa fakta: Republik Turkiye bukan negara biasa,” kata Erdogan dalam ucapan kepada kumpulan parlimen partinya, sambil mengecam tindakan Israel di Gaza, Lubnan dan Iran.

Netanyahu menyasarkan Erdogan dalam satu hantaran di X pada hari Sabtu, dengan menulis bahawa “Israel di bawah kepimpinan saya akan terus memerangi rejim keganasan Iran dan proksinya, berbeza dengan Erdogan yang memberi ruang kepada mereka dan membunuh rakyat Kurdi sendiri.”

Sebagai respons, Kementerian Luar Turkiye berkata rekod Netanyahu “bercakap untuk dirinya sendiri”, menyifatkannya sebagai figura yang sering dibandingkan dengan Hitler serta merujuk kepada waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dikeluarkan pada November 2024 atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Ia juga menyatakan bahawa Israel berdepan tuduhan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Erdogan, ketika memberi reaksi terhadap kenyataan itu, berhujah bahawa pihak yang menentang usaha Turkiye menamatkan keganasan selama beberapa dekad kini tidak lagi menyembunyikan ketidakselesaan mereka terhadap proses tersebut.

“Tanpa melihat darah 73,000 rakyat Gaza di tangan dan muka mereka, mereka dengan tidak tahu malu memfitnah negara kami melalui saudara Kurdi kita .Kami tidak akan terperangkap dalam perangkap ini,’’ katanya.

Ankara sedang meneruskan usaha untuk mengurangkan ketegangan, melanjutkan gencatan senjata, dan memastikan rundingan diteruskan, kata Erdogan, sambil menyatakan bahawa proses tersebut telah memasuki fasa sukar, khususnya berkaitan isu nuklear, sementara ketegangan meningkat semula di Selat Hormuz.

Beliau menegaskan bahawa “rundingan tidak boleh diteruskan dengan tangan yang menggenggam”, sambil memberi amaran bahawa senjata tidak boleh menggantikan dialog dan peluang yang tercipta melalui gencatan senjata “mesti dimanfaatkan sepenuhnya”.

Namun beliau menyatakan bahawa serangan berterusan Israel di Lubnan telah menimbulkan keraguan terhadap prospek keamanan berkekalan, sambil menegaskan bahawa “kerajaan Israel, yang diketahui tidak selesa dengan gencatan senjata, tidak boleh dibenarkan mensabotaj proses tersebut.”

Erdogan menegaskan bahawa sebarang keamanan di rantau itu perlu dicapai “walaupun tanpa rejim Zionis ini”, sambil menambah bahawa kestabilan juga bergantung kepada mengatasi dasar yang didorong oleh “khayalan tanah yang dijanjikan”.

Beliau turut berhujah bahawa keamanan berkekalan akan tercapai walaupun pendekatan Israel yang mengaitkan keselamatannya sendiri dengan ketidakstabilan pihak lain.

Erdogan menegaskan bahawa Israel berulang kali cuba menggagalkan usaha keamanan setiap kali kemajuan hampir dicapai, sambil menambah bahawa Turkiye akan terus bertindak dengan “maruah, kehormatan dan keberanian” serta bersuara secara terbuka walaupun dalam keadaan sukar.

“Kami akan terus menjadi suara kepada kanak-kanak yang tidak bersalah di Gaza. Kami akan terus mendengar tangisan ibu-ibu Palestin yang hati mereka terbakar dengan kesedihan kehilangan anak-anak mereka. Kami akan terus mempertahankan hak saudara kami yang tanahnya diduduki di Tebing Barat. Kami akan terus mengikuti kes kanak-kanak yang dibunuh dalam tidur mereka di Lubnan,” kata Erdogan. 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img