Kerajaan naikkan kadar bantuan Program Tanam Semula Getah di Semenanjung, Sabah

KADAR  bantuan Program Tanam Semula Getah bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dinaikkan.

Dalam satu kenyataan  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata melalui penambahbaikan itu, kadar bantuan di Semenanjung Malaysia dinaikkan daripada RM13,710 sehektar kepada RM20,000 sehektar, iaitu peningkatan RM6,290 sehektar, manakala bagi Sabah kadar bantuan dinaikkan daripada RM14,955 sehektar kepada RM23,000 sehektar, iaitu peningkatan RM8,045 sehektar. 

 Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bagi kadar bantuan Sarawak, ia telah diumumkan pada Mac lepas dengan kadar baharu RM23,000 sehektar berbanding kadar lama RM14,805.

Beliau berkata kadar baharu itu akan dilaksanakan mulai tahun ini melalui pembayaran secara lima ansuran yang lebih praktikal bagi membantu pekebun kecil mengurus pembangunan kebun dengan lebih terancang.

“Langkah ini juga bertujuan mengurangkan beban kos permulaan yang menjadi kekangan utama kepada pelaksanaan tanam semula,” katanya. 

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti peningkatan kos pembangunan kebun dan keperluan lapangan susulan ketidaktentuan ekonomi global serta kenaikan kos input pertanian.

‘’sepanjang RMK13, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 33,000 pekebun kecil dengan sasaran keluasan tanam semula 50,000 hektar atau purata 10,000 hektar setahun,’’ katanya.

Beliau berkata dalam jangka panjang, usaha ini diunjurkan mampu membantu pekebun kecil memperoleh pendapatan kira-kira RM4,700 sebulan sekeluarga melalui hasil getah dan aktiviti ekonomi lain. 

“Saya melihat kenaikan kadar ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk terus membela, memperkasa dan memartabatkan masyarakat pekebun kecil getah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img