DUA warga emas maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan van di Jalan Lama Hala Kati, Kampung Lubok Chapin, Kuala Kangsar hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 2.38 petang, sebelum pihak bomba tiba di lokasi pada 3.03 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua wanita yang menaiki Perodua Myvi masing-masing berumur 67 dan 69 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Dua mangsa menaiki van Nissan Vanette iaitu seorang wanita berusia 60 tahun dan seorang lelaki berumur 29 tahun mengalami kecederaan selepas tersepit dalam kenderaan itu,” katanya.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Kangsar.
Operasi menyelamat tamat pada 4.09 petang.


