JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menyelamatkan lapan wanita warganegara Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi tenaga kerja sebagai pembantu rumah dalam satu Operasi Khas pada 15 April lalu.
Dalam satu kenyataan JIM memberitahu, operasi itu dilaksanakan di 11 lokasi sekitar Lembah Klang iaitu di Telok Panglima Garang, Jenjarom, Kajang, Bukit OUG, Shah Alam, Gombak, Cheras, Batu Caves dan tiga lokasi di Seri Kembangan.
‘’Operasi yang bermula pada jam 11 pagi melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya,’’ kata JIM.

Menurut JIM, bertindak atas maklumat dan risikan selama sebulan, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menyelamatkan empat perempuan warganegara Indonesia serta menahan dua perempuan warga tempatan yang dipercayai sebagai ‘ejen haram’ merupakan ibu dan anak yang dikenali sebagai ‘Ibu Maznah’.
‘’Dalam serbuan kedua, pasukan operasi berjaya menyelamatkan lagi empat perempuan warganegara Indonesia dan menahan dua lelaki warganegara Yemen dan dua perempuan warganegara Indonesia yang dipercayai sebagai ‘ejen haram’ dikenali sebagai ‘Ibu Nancy’,’ kata jabatan itu
JIM berkata, ‘ejen haram’ ini dipercayai membekalkan dan mengeksploitasi perempuan warganegara Indonesia dengan bekerja sebagai Pembantu Rumah Asing (PRA). Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’.

‘’Hasil pemeriksaan di lokasi lain, seramai 10 lelaki dan lapan perempuan warganegara Indonesia telah ditahan kerana tidak mempunyai pas yang sah untuk berada di negara ini. Jumlah keseluruhan mangsa yang diselamatkan adalah seramai 8 orang perempuan warganegara Indonesia,’’ kata JIM.
Selain itu pasukan operasi JIM telah menyita 21 naskhah pasport Indonesia, 7 unit telefon bimbit, dokumen perjanjian antara ejen dan majikan. Turut disita sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang dipercayai digunakan untuk kegiatan ini.
‘’Modus operandi sindiket adalah dengan menjanjikan pekerjaan kepada warganegara Indonesia yang tidak mempunyai Pas yang sah untuk bekerja di negara ini.
‘’Sindiket juga dipercayai memperdaya majikan untuk menguruskan pekerja yang dibekalkan bagi mendapatkan pas untuk bekerja di negara ini. Bayaran yang dikenakan kepada setiap majikan adalah sebanyak RM4,500 hingga RM6,000 bagi setiap seorang pembantu rumah asing yang dibekalkan. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak sejak setahun lalu,’’ kata jabatan itu.
Kesemua ‘ejen haram’ ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Sek.12 Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670), satu (1) perempuan warga tempatan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Sek.12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Seramai 18 orang warganegara asing ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Kesemua mangsa yang diselamatkan akan ditempatkan di rumah perlindungan. Dua lelaki dan tiga perempuan warga tempatan telah diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.


