Ocean Thunder tiba bukan bererti bahan sudah mencukupi, krisis sudah berakhir

PETRONAS mengesahkan bahawa  Kapal Ocean Thunder telah tiba di Malaysia dengan satu juta tong minyak mentah dari Basrah, Iraq.

Kata syarikat minyak itu, ia sebahagian daripada rangkaian bekalan yang luas, salah satu usaha Petronas  dalam memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil.

Turut ditegaskan jaminan bekalan tenaga bukan bergantung kepada satu penghantaran besar, tetapi kepada konsistensi dan kelangsungan bekalan dari semasa ke semasa.

Penulis percaya pada masa sama pasti ada pihak yang akan menguar-uarkan bahawa perolehan minyak mentah itu akan mengatasi masalah bekalan bahan tersebut dan ‘paling ngeri’ ada yang berpendapat harga minyak khusus diesel sudah boleh diturunkan.

Tidak dapat dinafikan sejak tercetus isu berkaitan minyak, macam-macam andaian dibuat, macam-macam tuduhan dilakukan dan macam-macam spekulasi disebarkan sehingga ia mencetuskan keraguan dalam rakyat terhadap usaha kerajaan dalam isu tersebut.

Apa yang mendukacitakan, entah dari mana sumber perolehi, entah daripada siapa yang menyebarkan bahawa baru-baru ini kita menghantar minyak diesel ke Filipinan. Akibatnya riuh dalam media sosial, kerajaan diserang habis-habisan.

Petronas menjelaskan kedudukan sebenar, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) cuba memperbetulkan fakta manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menafikan tetapi semua bagaikan sia-sia. Persepsi mengatasi realiti, auta menutupi fakta, tohmahan menepis kebenaran.

Penulis percaya keadaan yang sama akan berlaku dalam soal ketibaan kapal Ocean Thunder pasti ada yang berpandangan, bekalan yang sampai akan dapat mengatasi krisis bahan itu dan mungkin juga beranggapan tiada alasan lagi untuk kerajaan tidak menurunkan harga minyak.

FAKTANYA, ketibaan kapal tangki yang membawa kira-kira 1 juta tong minyak mentah ke Malaysia adalah satu perkembangan positif, namun perlu difahami dalam konteks sebenar.

Malaysia menggunakan sekitar 700,000 tong sehari. Ini bermakna jumlah tersebut hanya mampu menampung keperluan negara untuk kira-kira 1 hingga 2 hari sahaja.

Penting untuk difahami bahawa yang tiba adalah minyak mentah, bukan petrol atau diesel yang boleh terus digunakan. Ia perlu melalui proses penapisan terlebih dahulu, yang mengambil masa beberapa hari sebelum boleh digunakan di stesen minyak.

Sehubungan itu, bekalan ini bukanlah penyelesaian sekali gus, tetapi sebahagian daripada rantaian bekalan berterusan untuk menambah stok sedia ada dan memastikan bekalan kekal stabil dalam tempoh mendatang.

Justeru adalah diharapkan tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba memutar belitkan fakta, menyebarkan auta dan menyemarakkan propaganda dengan tujuan untuk menimbulkan kemarahan atau perasaan tidak  puas hati rakyat terhadap kerajaan.

Cukup-cukuplah mahu mempolitikkan apatah lagi menjadikan isu bahan api sebagai modal bagi membangkitkan sentimen rakyat. Sampai bila mahu ‘menjamah’ kepalsuan dan tohmahan  demi kepuasan politik…tiada faedahpun. Negara sedang berhadapan krisis yang turut dirasai seluruh dunia. Hanya mereka yang berfikiran sempit sahaja terus mahu bermain dengan sentimen.

Kepada kelompok ini cakaplah apapun, teranglah apapun, bentanglah apapun fakta mereka tetap akan menolak namun mereka perlu ingat  tidak semua  rakyat akan terpengaruh dengan ‘kejahilan ciptaan mereka’.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img