KERAJAAN meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta bagi program pembasmian kemiskinan di Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tambahan khas itu untuk membantu rakyat di bawah paras miskin dan ia akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan.
“Saya minta ICU JPM uruskan,” katanya ketika berucap di Masjid Mukim Gong Chapa Temila, di Pasir Puteh, hari ini.
Terdahulu, beliau hadir ke majlis Ramah Mesra dan Lawatan Masjid Mukim Gong Chapa Temila. Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Anwar berkata, sebelum ini program pembasmian kemiskinan di Kelantan sudah dilaksanakan.
“Namun, Menteri Besar Kelantan membuat permohonan tambahan untuk program membasmi kemiskinan. Justeru, saya bagi peruntukan tambahan khas untuk bantu rakyat bawah miskin iaitu sebanyak RM20 juta,” katanya.
Sementara itu kerajaan turut meluluskan bantuan segera sebanyak RM500,000 kepada Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah, Kampung Kolam, Bachok yang terbakar, pada 12 April lalu.
Anwar berkata, peruntukan itu adalah untuk membaik pulih kerosakan sekolah berkenaan.
“Kerajaan MADANI turut berdukacita atas insiden kebakaran yang menimpa SMU (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah yang mengakibatkan tiga blok bangunan sekolah musnah dan terjejas.
“Justeru, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi membantu pihak pentadbiran sekolah untuk membaik pulih prasarana yang terkesan akibat insiden berkenaan,” katanya ketika berucap di Masjid Mukim Gong Chapa Temila, di Pasir Puteh.


