POLIS sedang menyiasat seorang individu selepas dipercayai membuat kenyataan fitnah terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam (JAIS) menerusi hantaran di media sosial.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata tindakan itu susulan laporan diterima pihaknya Khamis lalu yang mendakwa kandungan berkenaan dibuat bagi menjejaskan imej MAIS dan JAIS.
“Pengadu mendakwa bahawa kandungan video tersebut adalah fitnah kerana melemparkan tuduhan rasuah serta penggunaan imuniti istana yang dilihat sengaja dibuat bagi menjejaskan imej pihak MAIS dan JAIS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pihaknya memandang serius penularan sebuah video menerusi TikTok yang mengaitkan kononnya berlaku isu tunggakan bayaran serta salah urus melibatkan MAIS membabitkan projek sebuah masjid di Subang.
Beliau berkata dakwaan dalam hantaran tersebut yang mengaitkan MAIS dengan penggunaan imuniti istana serta unsur rasuah sehingga menyebabkan pembayaran tidak diselesaikan kepada pengadu adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.
Shazeli seterusnya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain memohon kerjasama orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan komen yang menggugat keharmonian serta ketenteraman awam.


