MENTERI Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegaskan,penguatkuasaan had umur 16 tahun bagi akaun media sosial bukan untuk menyekat kebebasan bersuara terutamanya dalam kalangan kanak-kanak tetapi untuk menjamin keselamatan mereka dan keluarga di Internet.
Katanya, kanak-kanak masih boleh mengakses Internet atau platform media sosial, namun perlu di bawah pemantauan penjaga.
“Kita mahu sekat kanak-kanak bawah usia 16 tahun daripada membuka akaun sendiri, namun sekiranya ibu bapa yang membuka akaun tersebut dan memantau penggunaannya, perkara itu tidak menjadi masalah.
“Contohnya, aplikasi YouTube, mereka masih boleh menonton kandungan di sana. Kita cuma tidak mahu mereka mempunyai akaun peribadi yang membolehkan pemangsa seksual atau pedofilia menghubungi mereka secara terus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Datum bersempena dengan Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Fahmi berkata langkah itu turut disokong oleh pandangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang berpendapat sama tentang risiko serius yang dihadapi kanak-kanak apabila memiliki akaun tanpa pengawasan.
Beliau mengambil contoh beberapa kes jenayah siber serius, termasuk kes seksual di Sabah membabitkan mangsa berusia 15 tahun yang mengenali pemangsa menerusi TikTok, serta isu buli siber yang meragut nyawa seperti kes mendiang Rajeswary Appahu atau Esha.
Berhubung kemungkinan terdapat tentangan, beliau menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan bagi memahami sudut pandang alternatif serta cadangan yang dikemukakan.
“Saya sedia bertemu dengan mana-mana pihak dan telah mengarahkan pasukan di MCMC untuk mempertimbangkan aspek yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan nanti, namun keutamaan kami tetap kepada penyediaan ruang Internet yang selamat,” katanya.
Fahmi memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), masih menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sebelum penguatkuasaan had umur 16 tahun bagi akaun media sosial dilaksanakan.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memberikan taklimat, mendengar pandangan serta menangani kebimbangan pelbagai pihak, selain memastikan matlamat utama kerajaan untuk melindungi keselamatan kanak-kanak dan keluarga di alam maya tercapai.
“Pihak MCMC memang mengadakan sesi libat urus yang berterusan dan saya percaya ramai lagi yang wajar dijemput untuk diberi taklimat serta didengar pandangan mereka,’’ katanya.


