SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun hilang dipercayai disambar buaya ketika berada di pantai dekat Jalan Felda Sahabat 16, Desa Kencana di Lahad Datu pagi tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Mohd Hamka Mustamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.27 pagi melalui talian MERS999.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa sedang bermain-main di kawasan tepi pantai sebelum tiba-tiba disambar reptilia berkenaan.
“Mangsa dilaporkan dibaham buaya dan diseret ke dalam laut. Identiti penuh mangsa masih belum diperoleh setakat ini.
“Sepasukan anggota dari BBP Lahad Datu telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Beliau berkata, operasi SAR kini dijalankan dengan bantuan pihak polis bagi mengesan mangsa yang masih belum ditemukan.
Katanya, pasukan bomba menghadapi cabaran berikutan jarak lokasi kejadian yang agak jauh, iaitu kira-kira 101 kilometer dari balai, selain keadaan persekitaran yang berisiko.


