Peguam Negara arah polis siasat lanjut kes guru rempuh dua pelajar

PEGUAM Negara  Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengarahkan polis menjalankan siasatan lanjut kes guru merempuh dua pelajar dalam kawasan sekolah di Kota Bharu, Kelantan, sehingga mengorbankan seorang daripada mangsa, Ahad lalu.

Katanya, ia termasuk mendapatkan keterangan pelajar yang cedera parah.

“Arahan termasuk mendapat keterangan dari seorang lagi pelajar yang mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital kerana setakat ini tidak ada saksi bebas yang melihat bagaimana kejadian berlaku,” katanya lapor Buletin TV3 hari ini.

Beliau berkata, siasatan perlu diperluas termasuk meneliti keadaan sebenar lokasi kemalangan yang dikatakan kawasan parkir.

“Beberapa aspek lain juga perlu diteliti, termasuk mendapatkan gambaran yang jelas mengenai keadaan di kawasan tempat kejadian yang dikatakan merupakan kawasan parkir kenderaan, selain meluaskan aspek siasatan kepada kesalahan-kesalahan yang lain,” ujarnya.

Beliau sebelum ini dilapor berkata, pihaknya masih belum menerima kertas siasatan kes daripada polis.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memberitahu, suspek yang juga seorang guru berusia 57 tahun akan didakwa dalam masa terdekat.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suspek kini dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas Ahad lalu, seorang pelajar, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13 tahun maut.

Manakala rakannya parah selepas dirempuh kereta dipercayai dipandu guru wanita berkenaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img