DUA anggota tentera berpangkat Koperal masing-masing didenda RM2,200 di dua Mahkamah Majistret di Sungai Petani hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan dua rakan setugas awal bulan lalu.
Tertuduh Mohamad Izzuddin Ahmad, 27, dan Muhamad Amir Irfan Mohd Ridzuan, 25, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Di hadapan Muhammad Syaiful Akmal, kedua-dua tertuduh didakwa mencederakan seorang lelaki berusia 25 tahun di bilik penginapan bujang Batalion 165 Risik, Kem Lapangan Terbang Sungai Layar.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 10.05 malam hingga 11.50 malam pada 5 Mac lalu.
Muhammad Syaiful Akmal kemudian menjatuhkan hukuman denda RM700 ke atas setiap tertuduh dan hukuman penjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Di hadapan Mohamad Azlan pula, kedua-dua tertuduh sekali lagi didakwa atas kesalahan mencederakan seorang lagi mangsa berusia 25 tahun di lokasi, tarikh dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, masing-masing didenda RM1,500 atau berdepan penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan bayaran.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamaruzzaman dan Nur Hazwani Md Noor, manakala peguam Chong Sen Ming mewakili kedua-dua tertuduh.


