IRAN bertindak balas atas kebiadaban Amerika Syarikat (AS) menyerang kapal dagang negara republik itu apabila melancarkan serangan dron ke arah beberapa kapal tentera AS di Selat Hormuz.
Perkembangan ini berlaku di tengah ketegangan di Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak dunia, ketika ancaman sekatan oleh AS terhadap kapal yang menuju ke pelabuhan Iran terus memuncak.
Sebelum itu jurucakap Markas Komando Khatam al-Anbia memberi amaran bahawa tindakan terbaru yang disifatkan sebagai “lanun maritim” oleh tentera AS terhadap sebuah kapal dagang Iran akan dibalas dalam masa terdekat.
Menurut beliau, kapal komersial Iran diserang ketika berada di perairan Laut Oman apabila tentera AS melepaskan tembakan, melumpuhkan sistem navigasi serta menurunkan anggota marin ke atas kapal tersebut.
“Kami memberi amaran bahawa Angkatan Tentera Republik Islam Iran akan segera bertindak balas terhadap tindakan lanun dan pencerobohan bersenjata ini,” katanya.
Insiden itu berlaku selepas kapal kontena Iran, Tousak, yang dalam perjalanan dari China ke Iran, dilaporkan diserang oleh pasukan AS di Teluk Oman pada malam Ahad.
Sementara itu, US Central Command memaklumkan bahawa kapal berkenaan sedang menuju ke pelabuhan Bandar Abbas dan mendakwa ia mengabaikan beberapa amaran selama enam jam untuk mengosongkan bilik enjin.
Presiden AS Donald Trump pula menyatakan bahawa Tentera Laut AS menghentikan kapal tersebut dengan meletupkan sebahagian bilik enjinnya.


