SUAMI isteri warga emas maut, manakala cucu lelaki mereka berusia 13 tahun parah selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang dipandu anggota tentera di Kilometer 134, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, di Temerloh petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.25 petang itu, pemandu Perodua Kancil, Zulkifli Md Yusof, 72, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Radzuan Mohamad, 67, meninggal dunia beberapa jam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas).
Cucu pasangan itu yang berada di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di zon merah Hoshas.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kemalangan membabitkan Perodua Kancil dipandu Zulkifli dan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki tiga anggota tentera berusia antara 22 hingga 27 tahun.
“Siasatan awal mendapati pemandu Perodua Myvi berusia 22 tahun, yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan hingga bertembung dengan kereta dinaikimangsa.
“Pertembungan menyebabkan pemandu Perodua Kancil tersepit di dalam kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian. Isterinya meninggal dunia pada jam 8.55 malam tadi ketika menerima rawatan di Hoshas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasyim berkata, ketiga-tiga anggota tentera yang bertugas di Kem Kementah turut cedera dan sedang menerima rawatan di zon kuning hospital yang sama.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda sehingga RM50,000, serta penggantungan lesen memandu jika sabit kesalahan.


