Menjelang musim haji: Arab Saudi tahan 14,487 PATI  dalam tempoh seminggu, ‘dalang’ bakal didenda RM1.3  juta

PIHAK berkuasa keselamatan Arab Saudi menahan seramai 14,487 pendatang tanpa izin dalam operasi pemeriksaan bersepadu yang dijalankan di seluruh negara sepanjang tempoh 9 hingga 15 April lalu.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam satu kenyataan operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan bagi mengesan pelanggaran undang-undang berkaitan residensi, keselamatan sempadan dan buruh.

Daripada jumlah keseluruhan yang ditahan, seramai 7,911 individu didapati melanggar Undang-Undang Residensi, diikuti 3,588 pelanggaran Undang-Undang Keselamatan Sempadan dan 2,988 pelanggaran Undang-Undang Buruh.

Dalam tempoh sama, sebanyak 21,127 pesalah telah dirujuk kepada perwakilan diplomatik masing-masing bagi mendapatkan dokumen perjalanan, manakala 11,240 individu lagi dihantar untuk melengkapkan urusan tempahan perjalanan pulang. Seramai 12,554 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara asal.

Pihak berkuasa turut menahan 1,382 individu yang cuba memasuki negara itu secara haram, dengan majoritinya terdiri daripada warga Ethiopia (61 peratus) dan Yemen (38 peratus), manakala selebihnya daripada negara lain.

Selain itu 43 individu ditahan ketika cuba keluar dari negara itu secara tidak sah.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 23 individu yang dipercayai terlibat membantu pendatang tanpa izin — termasuk menyediakan pengangkutan, tempat perlindungan dan peluang pekerjaan — turut diberkas.

Kementerian itu memaklumkan bahawa seramai 39,258 warga asing, terdiri daripada 35,460 lelaki dan 3,798 wanita, kini sedang melalui proses tindakan undang-undang.

Sehubungan itu, kementerian memberi amaran tegas bahawa mana-mana pihak yang membantu kemasukan haram, menyediakan pengangkutan atau perlindungan kepada pendatang tanpa izin boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda sehingga 1 juta riyal Saudi (RM1.3 juta), selain penyitaan aset yang digunakan.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang melalui talian kecemasan 911 di wilayah Makkah, Riyadh dan Timur, serta 999 dan 996 di kawasan lain di negara itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img