POLIS sedang memburu lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan terhadap seorang penternak lembu di ladang Felda Kemahang 1 di Tanah Merah, Kelantan awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, yang merupakan anak peneroka cedera selepas terkena tembakan di bahagian dagu ketika menjalankan rondaan bersama rakannya bagi mengesan kegiatan curi lembu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.26 pagi.
Menurutnya, sebelum kejadian, pengadu yang juga jurujual berusia 35 tahun bersama rakannya menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan sejak jam 1.30 pagi.
“Mereka kemudian terserempak dengan sekumpulan lima lelaki dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan Thailand.
“Suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pengadu dan rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa bertindak melarikan diri bagi menyelamatkan diri sejurus kejadian berlaku.
“Bagaimanapun, Mohd Khairul Amri terkena tembakan di bahagian dagu,” katanya.
Mohd Haki berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah dan kini menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan.
Menurutnya, dalam kejadian sama, sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik mangsa turut dilarikan salah seorang suspek yang dipercayai warga tempatan.
Katanya, kesemua suspek dianggarkan seramai lima orang dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.


