Pemandu BMW mabuk langgar motosikal kena denda RM13,000

SEORANG wanita didenda RM13,000 oleh Mahkamah Trafik Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.22 malam di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju.

Menurutnya, kemalangan itu melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X1 dan sebuah motosikal Yamaha LC135.

“Siasatan awal mendapati pemandu motokar, wanita tempatan berusia 42 tahun, gagal berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum melanggar motosikal yang sedang bergerak lurus dengan lampu hijau,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penunggang motosikal lelaki berusia 22 tahun mengalami kecederaan ringan iaitu bengkak di lutut kanan, manakala pembonceng wanita berusia 15 tahun serta pemandu motokar tidak cedera.

Katanya, ujian alkohol mendapati pemandu motokar mempunyai kandungan alkohol sebanyak 183 miligram/100 mililiter direkodkan.

“Susulan itu, pemandu berkenaan dituduh di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengaku bersalah di Mahkamah Trafik Kuala Lumpur pada 21 April 2026,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari, denda RM13,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 42(1) akta sama.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img