SEORANG pegawai di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) kerugian hampir RM300,000 akibat diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai wakil insurans dan polis.
Mangsa, seorang lelaki berusia 48 tahun yang merupakan penolong pesuruhjaya bangunan di PBT terbabit mendakwa telah dihubungi seorang individu pada Disember tahun lalu yang mengatakan dia terbabit dalam membuat tuntutan pembedahan palsu dengan syarikat insurans.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, panggilan terbabit kemudiannya disambung kepada individu lain yang menyamar sebagai ‘pegawai polis’ dan ‘timbalan pendakwa raya’.
Menurutnya, mangsa kemudian diarahkan diarahkan membuat pinjaman peribadi dengan bank sebelum diminta menyerahkan maklumat perbankan kepada individu terbabit.
“Mangsa mendakwa suspek mengarahkannya berbuat demikian bagi tujuan siasatan serta jaminan bagi ‘kes’ yang dihadapinya.
“Akibat percaya dengan dakwaan itu, mangsa melakukan beberapa transaksi secara berperingkat sejak 5 Januari lalu sehingga bulan ini dengan jumlah keseluruhan RM273,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rais Mukhliz berkata, mangsa bagaimanapun menyedari dia ditipu apabila wang dalam akaun yang merangkumi pinjaman bank serta simpanan peribadi berkurangan.
Beikutan itu katanya, mangsa segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada jam 12.31 tengah hari semalam.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


