Sindiket ‘love scam’ beroperasi di resort tumpas, 58 ditahan – KP Kelantan

POLIS berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian berkonsepkan ‘love scam’ yang beroperasi di sebuah resort di Tanah Merah dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan hasil risikan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli dan Machang.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan dijadikan pusat operasi ‘call centre’ bagi menjalankan kegiatan penipuan dalam talian yang dipercayai aktif sejak kira-kira sebulan lalu.

“Kumpulan sindiket ini menyamar sebagai wanita dan menyasarkan mangsa lelaki warga Singapura dengan memperdaya emosi serta kepercayaan sebelum memperdayakan mereka untuk keuntungan kewangan.

“Mereka menyewa resort berkenaan dan menggunakan dewan serta beberapa bilik sebagai pusat operasi serta tempat penginapan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu dikendalikan oleh tiga penyelia bersama 55 operator yang bekerja setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

“Mereka menggunakan sekurang-kurangnya enam router bagi memastikan capaian internet berkelajuan tinggi serta sukar dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam serbuan itu, seramai 58 individu berusia antara 20 hingga 30-an ditahan membabitkan 53 lelaki dan lima wanita.

“Daripada jumlah itu, 49 lelaki adalah warga China, manakala selebihnya seorang lelaki tempatan serta masing-masing seorang lelaki warga Myanmar, India dan Pakistan.

“Bagi tangkapan wanita pula, seorang warga tempatan, seorang warga Myanmar dan tiga lagi warga China,” katanya.

Tambah beliau, daripada 56 warga asing yang ditahan, seramai 33 memiliki dokumen perjalanan sah manakala selebihnya tidak mempunyai dokumen lengkap.

Dalam operasi sama, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan sindiket termasuk 46 komputer peribadi (PC), lima komputer riba, 118 telefon bimbit serta lapan router dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM179,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan dan semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img