POLIS menahan sepasang kekasih yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan urusan pembayaran menggunakan resit palsu di sekitar daerah Melaka Tengah sejak Mac lalu.
Pasangan terbabit ditahan dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sebuah rumah di Jalan Kampungku Sayang pada jam 3.31 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam serbuan itu polis menahan kedua-dua mereka yang berusia 25 dan 32 tahun.
“Siasatan awal mendapati modus operandi digunakan adalah membeli rokok dalam kuantiti besar di stesen minyak sekitar Melaka Tengah sebelum membuat bayaran menggunakan resit palsu.
“Resit tersebut dipercayai telah diubah suai menggunakan aplikasi WPS Office bagi memperdayakan peniaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Christopher, kejayaan itu membolehkan polis menyelesaikan enam kes penipuan melibatkan modus operandi sama dengan jumlah kerugian sebanyak RM2,955.50.
Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 dan 471 Kanun Keseksaan kerana menipu serta menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.
Tambah beliau, suspek telah direman selama empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
Beliau menasihatkan orang ramai khususnya pemilik perniagaan supaya lebih berwaspada semasa berurusan dengan pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan kaedah QR Pay atau pemindahan wang dalam talian dengan memastikan transaksi disahkan terlebih dahulu sebelum pelanggan beredar dari premis.


